Friday, 10 May 2013

Jadilah Hamba Yang Bersyukur Dengan Banyak Memberi . .

Bismillahirahmanirahim . . Assalamualikum . .  


Dipetik dari sebuah buku berjudul : " BAWA HATIMU KEPADA TUHAN.." untuk dikongsi bersama . .
InsyaAllah . .


JADILAH HAMBA YANG BERSYUKUR DENGAN 

BANYAK MEMBERI


     Sebagai tanda syukur kepada Allah S.W.T, maka Islam mengajar setiap umatnya supaya tidak henti-henti membuat kebajikan kepada sesama insan. Begitulah cara melahirkan rasa syukur kepada Yang Maha Pemurah, iaitu dengan cara mengamal dan menghayati sifat pemurah di dalam kehidupan.  

     Kebajikan yang Islam ajarkan kepada kita ada pula bermacam bentuk. Ia tidak terbatas kepada sesuatu kelompok sahaja. Antara bentuk-bentuk kebajikan itu adalah pengorbanan harta benda, berderma, dan  bersedekah kepada sesiap sahaja.

     Perlu diingat, agama Islam ini tidak akan berkembang dan  ditegakkan setingginya , selagi dasar kebakhilan (kikir) dan dasar monopoli (membolot harta) wujud dalam diri setiap umatnya. Dan cahaya Islam tentunya tidak akan menyinari hidup kita sekiranya Rasulullah SAW dan para Sahabat bersifat demikian. Sejarah mencatatkan bahawa generasi pertama Islam itu sering berlumba-lumba melakukan amal kebajikan demi melihat kesinambungan agama Allah SWT ini lancar dan tidak terbantut atau terhenti  di pertengahan jalan.

    Kerana itu, Islam sering menasihati umatnya agar menyahut dan menyambut apa sahaja dorongan berderma bagi apa sahaja aktiviti kebajikan di dalam masyarakat. Pokok ajaran Islam didasarkan atas pengorbanan  membelanjakan sebahagian harta yang dimiliki umatnya, untuk tujuan berderma dan bersedekah sebagai tanda syukur kepada Allah SWT.

    Tidak menjadi persoalan sama ada kebajikan itu dilakukan secara terang-terangan atau secara tersembunyi. Apa yang penting ialah amal kebajikan itu dilakukan secara konsisten dan terus-menerus dalam apa jua bentuk. Tidak keterlaluan  jika dikatakan faktor ini juga merupakan 'nyawa' atau 'denyut nadi' Islam. Tanpanya lemah dan lumpuhlah sendi-sendi Islam itu sendiri. Inilah juga yang dikatakan asas dan pokok ajaran Islam yang didasarkan atas pengorbanan membelanjakan sebahagian harta yang dimiliki umatnya, untuk tujuan berderma dan bersedekah sebagai tanda dan bukti syukur kepada Allah SWT yang melimpahkan kurnia-Nya.


Firman Allah SWT :


" Orang-orang yang menafkahkan hartanya pada malam dan siang
secara tersembunyi ataupun secara terang-terangan,
maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya.
Tidak ada kekhuatiran bagi mereka dan tidak pula mereka
bersedih hati." (Al-Baqarah: 274)



     Justeru, setiap Muslim hendaklah mengambil sikap berhemat dalam membelanjakan segala hartanya untuk memenuhi kperluan hidupnya. Supaya hartanya tidak diboros dan dihabiskan sebegitu sahaja secara sia-sia. Dalam keseronokan dan keghairahan berbelanja demi kepuasan nafsunya, kita perlu sedar dan ambil ingatan pesanan  Allah SWT, Pemberi dan Pemilik sebenar harta-harta itu. Jangan sampai kita lupa dan langsung lalai daripada ingatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya di dalam Al-Quran dan Sunnah.

    Sebenarnya kita berkewajipan mengagihkan kepada golongan yang memerlukan di dalam menikmati dan memanfaatkan harta yang dikurniakan Tuhan kepadanya. Itulah hakikatnya. Kekayaan yang dimiliki itu, setelah ditetapkan untuk keperluan diri sendiri, hendaklah digunakan untuk membantu dan menjana kepentingan umum seperti menolong fakir miskin, juga bagi meringankan beban penderitaan orang-orang yang susah dan tidak berkemampuan.


Sabda Nabi SAW:


" Wahai anak Adam, jikalau engkau mendermakan lebihan (harta)mu,
itu adalah lebih baik bagi kamu.
Dan apabila engkau menahannya saja (monopoli dan kedekut),
itu adalah bahaya bagi dirimu.
Engkau tidak akan tercela dengan cara hidup yang bersederhana. 
Dan dahulukan (Utamakan) orang-orang yang menjadi tanggungan kamu.
Dan tangan yang diatas (memberi) itu lebih baik daripada 
yang di bawah (menerima). "(Riwayat Muslim)



     Pemborosan harta adalah dilarangdan sangat tercela dalam Islam. Sebaiknya Islam memerintahkan umatnya mengagihkan harta itu kepada kaum keluarga sendiri yang memerlukan dan juga kepada golongan fakir miskin. Orang yang membazirkan atau orang yang melonggokkan hartanya serta tidak menggunakan segala petunjuk Allah SWT disifatkan sebagai bodoh dan makhluk perosak. Selalunya mereka tidak punya perhitungan dalam apa jua keputusan. Suka mensia-siakan harta kepada keinginan nafsu yang membuak-buak dan tidak ada kesudahan.


Firman Allah SWT:


" Dan berikanlah kepda keluarga-keluargamu yang dekat akan haknya,
juga kepada orang miskin dan orang yang dekat akan haknya,
juga kepada orang miskin dan orang yang di dalam perjalanan,
dan janganlah kamu bersikap membazir (boros).
Sesunggunya orang-orang yang pemboros  dan pembazir itu adalah 
saudara-saudara syaitan.
Dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya." 
(Surah Al-Israk: 26-27)



Jadilah tangan yang memberi, ia juga sumber hasanah atau kebaikan di dunia,selain hasanah yang Allah SWT janjikan di akhirat.


No comments:

Post a Comment